Aktiviti 6 masjid di Kuala Perlis dihadkan

ARAU 1 Ogos –  Semua masjid di Kuala Perlis diarah mengehadkan aktiviti pengimarahan masjid dan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mengeluarkan arahan itu berkata, pelaksanaan itu bermula waktu solat zuhur hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah masjid yang terbabit ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

“Mereka yang berada dalam kawasan terbabit adalah dilarang daripada keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain,” titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.

Baginda bertitah, orang ramai diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sekiranya terdapat individu yang melanggar ketetapan itu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sebagai langkah kawalan hanya pegawai bertugas seperti imam, bilal dan siak masjid sahaja dibenarkan hadir.

“Selain itu, jemaah masjid yang terdiri dalam kalangan Jawatankuasa Kariah Masjid dengan tidak melebihi 12 orang pada sesuatu masa turut dibenarkan hadir untuk melaksanakan aktiviti solat jemaah sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat.

“Pegawai bertugas dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dibenarkan hadir hendaklah di bawah usia 59 tahun.

“Bagi yang berusia 60 tahun dan ke atas, mereka dibolehkan hadir dengan syarat sudah melengkapi dua dos suntikan vaksin Covid-19,” titahnya.

Untuk rekod Perlis menunjukkan peningkatan kes selama tiga hari berturut-turut bermula Khamis 10 kes, Jumaat (13) dan semalam 16 kes berbanding 27 Julai dua kes dan tiga kes pada 28 Julai.

Related posts

Leave a Comment