553,871 dos agihan tertinggi

PUTRAJAYA 28 Julai – Jumlah pemberian vaksin harian di negara ini, terus mencatat lonjakan dengan merekodkan sejumlah 553,871 dos semalam, agihan tertinggi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan, daripada 553,871 dos yang disuntik semalam, 238,518 dos atau 43 peratus adalah kepada penerima di Lembah Klang.

Hasil pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang sejak 21 Julai lalu, sejumlah 82.9 peratus populasi dewasa dalam kawasan berkenaan sudah menerima dos pertama, dan 29.7 peratus menerima dos kedua.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, hasil kejayaan suntikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada 18,393,347 dos, merangkumi lebih 12.4 juta dos pertama dan 5.9 juta dos kedua.

Daripada jumlah itu, seramai 38.2 peratus populasi Malaysia sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19, dan 18.1 peratus sudah lengkap divaksin.

Secara purata mengikut negeri dan wilayah, populasi dewasa yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19 didahului Labuan dengan 77.7 peratus, disusuli Sarawak (58.6 peratus), Perlis (39.1 peratus), Lembah Klang (29.7 peratus), Negeri Sembilan (26.7 peratus) dan Melaka (23.9 peratus).

Penjejak vaksin Bloomberg menganggarkan Malaysia perlu menyuntik 438,179 dos sehari untuk memastikan 75 peratus populasi negara menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 30 September depan.

Related posts

Leave a Comment