54% kes KL babitkan isi rumah

KUALA LUMPUR 16 Julai – Lebih separuh atau 54 peratus kes Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, semalam membabitkan kontak rapat yang kebanyakannya adalah isi rumah, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Beliau berkata antara faktor penyumbang kepada kes yang tinggi adalah penularan jangkitan kepada ahli keluarga.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) itu memaklumkan majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.

Terdapat juga jangkitan daripada kontak rapat di tempat kerja seperti di pejabat.

Beliau berkata satu pertiga kes atau 28.5 peratus adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan tetapi berkemungkinan besar adalah daripada komuniti.

Annuar berkata, kes susulan saringan yang dibuat di kawasan PKPD bersasar adalah 13 peratus daripada jumlah kes keseluruhan manakala jumlah kes juga menurun daripada 294 kes ,kelmarin kepada 205 kes, semalam.

“Kes di tapak binaan hanya tiga, iaitu kurang daripada 0.5 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebahagian besar kes, 88 peratus adalah dalam kalangan warganegara dan tidak disumbangkan oleh industri pembinaan atau perkilangan yang hanya mencatat kurang daripada 0.5 peratus,” katanya.

Kata Annuar, secara keseluruhannya, situasi di wilayah itu adalah terkawal dan dijangkakan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai, dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi.

Related posts

Leave a Comment