Kes harian 8,574, kumulatif 844,870

PUTRAJAYA 12 Julai – Kes harian Covid-19 hari ini menunjukkan penurunan dengan 8,574 kes berbanding semalam, 9,105 kes menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 844,870 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, 102 kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan 97 warganegara dan empat lagi adalah warga asing berusia antara 29 hingga 86 tahun.

Katanya, 46 kes kematian dilaporkan di Selangor; Kuala Lumpur (16); Negeri Sembilan (14); Pahang (tujuh): Johor (enam); masing-masing tiga di Kedah dan Melaka manakala dua kes masing-masing di Sabah dan Pulau Pinang. Satu kes lagi masing-masing dilaporkan di Kelantan, Perak dan Sarawak.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sehingga pukul 12 tengah hari ini terdapat 5,041 kes sembuh dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 747,338 kes.

Kes aktif pula sebanyak 91,272.

Sementara itu, 964 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 452 memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai 16 kluster yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, lapan daripadanya membabitkan dalam kalangan komuniti, lima berpunca di tempat kerja manakala tiga lagi membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Kluster dalam kalangan komuniti yang dikesan dikenali sebagai Kluster Kampung Pulau Kundur; Kluster Jalan Dusun Langgar; Kluster Lorong Kubur Maras; Kluster Tanjung Celam; Kluster Tok Molor; Kluster Rantau Kesidang; Kluster Ketior Dalam dan Kluster Kampung Kendale.

Bagi kluster tempat kerja pula, ia dikenali sebagai Kluster Resort Sepang; Kluster Industri Jalan Utas; Kluster Tapak Bina Jalan Cendana; Kluster Lorong Sentosa Satu dan Kluster Putrajaya 15.

Tiga lagi kluster membabitkan kumpulan berisiko iaitu Kluster Bayam Tiga; Kluster Taman Utama Satu dan Kluster Seksyen 14 Jalan Bayam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment