Kes positif 10.07 cecah 10,000?

BERAPA kes positif Covid-19 hari ini, 10 Julai ? Adakah kes harian akan mencecah 10,000? Pada 7 Julai, 7,097, diikuti 8 Julai 8,868 dan 9 Julai sebanyak 9,180. Kemungkinan 10,000 itu tetap ada.

Tetapi melihat rekod yang lalu, kes tertinggi pada 29 Mei merekodkan 9,020 tetapi hari berikutnya tidak berlaku peningkatan. Sebaliknya pada 30 Mei jumlahnya 6,999 dan 31 Mei, 6,824 tetapi naik semula kepada 7,105 dan 7,703 pada 1 dan 2 Jun.

Pada hari berikutnya, 3 Jun, angka positif yang direkodkan adalah 8,209 seterusnya jatuh kepada lebih 7,000 dan dalam lingkungan lebih  5,000 pada kebanyakan hari pada bulan Jun.

Sukar untuk meramalkan angka ini, semuanya bergantung kepada saringan, contohnya seperti dilakukan di Selangor yang mengadakan lebih kerap saringan. Maka tidak hairanlah angka di Selangor terus naik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menjelaskan peningkatan kes di Selangor dan Kuala Lumpur telah dijangkakan berikutan peningkatan saringan bertumpu (targeted screening) yang giat dijalankan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

Begitu juga saringan di kilang-kilang dan ramai juga individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian Covid-19. Mereka adalah di kalangan yang berisiko tinggi misalnya yang bergejala atau kontak rapat.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba juga menyatakan peningkatan kes harian di Selangor sejak kebelakangan ini adalah hasil aktiviti pengesanan dan ujian saringan secara aktif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, sebanyak 25,005 saringan telah dijalankan pada 6 Julai berbanding 19,614 pada 5 Julai dan ujian saringan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Semalam Selangor catat 4,400 kes dan 4,152 pada 8 Julai.

“Daripada data ini, kita akan melihat aktiviti pengesanan kontak dan ujian saringan yang lebih banyak di kawasan PKPD. Memang aktiviti kesihatan awam dan ujian saringan akan ditingkatkan apabila kawasan tersebut diisytiharkan PKPD,” katanya.

Beliau berkata aktiviti pengesanan dan ujian saringan perlu giat dilaksanakan di kawasan PKPD untuk mengawal serta mengekang penularan Covid-19.

Semasa ujian saringan, individu yang dikenal pasti positif akan diasingkan dan diberi rawatan mengikut kategori jangkitan manakala bagi pesakit kategori empat dan lima, iaitu mempunyai gejala radang paru-paru, memerlukan bantuan pernafasan akan dihantar ke hospital untuk rawatan rapi.

Aktiviti pengesanan ini perlu dijalankan untuk mengesan individu yang tidak bergejala supaya dapat diasingkan daripada komuniti serta mengelakkan penularan terus berlaku.

“Inkubasi virus adalah selama 14 hari tetapi varian baharu ini boleh sampai 21 hari. Jadi 14 hari itu kita akan melihat peningkatan ujian saringan dibuat untuk mengesan, mencari dan saring,” katanya.

Beliau berkata usaha membendung Covid-19 bukan sahaja dilihat daripada kes harian tetapi kadar vaksinasi kerana ia mampu mengurangkan kes kemasukan ke hospital dan kematian sekali gus dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Menurut, Dr Adham KKM juga membuat keputusan untuk melaksanakan proses vaksinasi di kawasan diisytiharkan PKPD di seluruh negara dan ia akan dilaksanakan selepas individu yang positif diasingkan daripada mereka yang tidak dijangkiti.

“Tempoh PKPD selama 14 hari, jadi dalam masa itu petugas akan buat saringan. Individu yang negatif akan diberi jadual untuk vaksinasi. Vaksinasi perlu diberi secepat mungkin selepas PKPD selesai,” katanya.

Related posts

Leave a Comment