Lonjakan kes di Thailand

BANGKOK 9 Julai – Thailand terus merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 apabila berlaku lonjakan kes harian kepada 9,276 kes dengan 72 kematian menjadikan jumlah keseluruhan 317,506 serta 2,534 kematian.

Bangkok turut mencatatkan lonjakan dengan merekodkan 3,116 kes dan 39 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Sebanyak 8,998 adalah kes dalam masyarakat awam termasuk 23 kes import dan 278 banduan.

Sebanyak 3,928 kes sembuh dilaporkan menjadikan: jumlah keseluruhan 240,077 kes manakala kes kematian bagi gelombang ketiga adalah 2,440 dan 2,534 sejak pandemik bermula awal tahun lepas.

Berikutan penularan pandemik itu, perintah berkurung akan dikenakan mulai 9 malam hingga 4 pagi di Bangkok dan sembilan wilayah lain mulai Isnin ini, 12 Julai.

Di “kawasan kawalan maksimum dan ketat” atau zon merah gelap iaitu Bangkok dan lima wilayah – Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakan, Samut Sakhon dan Nakhon Pathom serta empat wilayah selatan – Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat, perhimpunan melebihi lima orang tidak dibenarkan.

Orang ramai dinasihatkan jangan keluar rumah bermula 9 malam hingga 4 pagi, kecuali jika mempunyai urusan penting.

Terdahulu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat CCSA yang membincangkan dan meluluskan sekatan baharu ini.

Mulai esok pusat pemeriksaan akan didirikan untuk meminimumkan pergerakan orang ramai terutama dari zon merah gelap ke wilayah lain.

Di Bangkok dan lima wilayah jiran, pusat beli-belah, klinik kecantikan, spa dan pusat urut akan ditutup mulai Isnin sementara  pasar raya, restoran, bank dan farmasi serta pusat vaksinasi di pusat beli-belah dibuka sehingga 8 malam.

Selain itu, restoran (hanya untuk bawa pulang), pasar dan kedai serbaneka (di luar pusat beli-belah) akan ditutup dari 8 malam hingga 4 pagi.

Semua agensi kerajaan digalakkan bekerja dari rumah dengan semaksimum yang mungkin.

Mesyuarat CCSA hari ini turut meluluskan cadangan melanjutkan tempoh darurat kepada dua bulan lagi hingga September.

Related posts

Leave a Comment