Lagi kes import di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN 2 Julai. – Satu lagi kes import, ke-120 dilaporkan di Brunei Darussalam semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 261 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes melibatkan seorang lelaki, berumur 67 tahun, yang tiba ke negara ini dari Jepun melalui Singapura, pada 18 Jun 2021.

Lelaki itu tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan siasatan mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes baharu ini memandangkan kes ini dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini .

Setakat semalam, Brunei Darussalam mencatatkan 421 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan pada 6 Mei 2020.

Menurut Kementerian Kesihatan lagi, 10 kes aktif masih menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes yang sedang dirawat di pusat tersebut adalah dalam keadaan yang baik.

Jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini adalah 248 orang.

Related posts

Leave a Comment