15 kes, muncul kluster baharu

PUTRAJAYA : Tiga hari berturut-turut, catatan dua angka masih belum mengalah apabila 15 kes baharu positif Covid-19 dilapor hari ini dengan melibatkan 11 kes penularan dalam negara dan empat import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 8,815 dengan 130 kes kebolehjangkitan.

Empat kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja, iaitu dari Belanda, Arab Saudi, United Kingdom dan Indonesia.

Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 10 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan kemasukan baharu ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Semuja, Sarawak.

Semalam, 20 Julai, sebanyak 21 kes positif dilaporkan dan sebelum itu, 19 Julai, Malaysia mencatatkan 15 kes positif.

Sementara itu, tujuh kes pulih sepenuhnya menjadikan jumlah kes pulih dan discaj adalah 8,562 kes atau 97.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Tiada kematian direkodkan dan jumlah kumulatif kes kematian kekal 123 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),.

Sebanyak empat kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.Setakat ini, terdapat 130 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesahkan satu lagi kluster  iaitu Kluster Sentosa dikesan membabitkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak. Kes pertama kluster tersebut dikesan positif pada 19 Julai di mana mangsa merupakan kes ke-8773 yang juga merupakan seorang petugas kesihatan yang mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai.

Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes telah dijalankan sehingga 21 Julai 2020 pukul 12 tengah hari, 61 orang disaring, iaitu terdiri daripada lima kes positif dan 56 adalah negatif.

Sehingga 21 Julai, sebanyak 19 kluster masih aktif, di mana 13 kluster baharu dikesan dalam tempoh 10 hari kebelakangan.

Related posts

Leave a Comment