Kemboja tutup pintu sempadan

PHNOM PENH 2 Julai – Kemboja menutup sementara pintu sempadan antara Vietnam dan Thailand sebagai langkah untuk membendung penularan Covid-19 termasuk varian Delta.

Perdana Menteri Hun Sen yang mengumumkan langkah pencegahan terbaru itu turut mengarahkan pihak berkuasa memperketat kawalan di pintu masuk sama ada melalui darat, air dan udara.

Beliau juga mahu ujian saringan Covid-19 dilakukan di semua pintu masuk sempadan tanpa ada pengecualian. 

Pihak berkuasa berkaitan juga perlu menyediakan lebih banyak lokasi strategik untuk dijadikan pusat kuarantin serta memperkukuh bekalan perubatan di sempadan, terutama di wilayah bersempadan dengan Thailand.

Pegawai kesihatan di wilayah berkenaan juga diminta memastikan mereka yang dijangkiti varian Delta diasingkan di pusat kuarantin yang berlainan selama 21 hari.

Sepanjang bulan lalu, Kemboja mengesan 22 kes varian Delta dan Delta Plus dalam kalangan pekerja Kemboja yang pulang dari Thailand.

Related posts

Leave a Comment