Jadilah ‘rumah untuk diduduki’ bukan ‘rumah tumpangan

SHAH ALAM 25 Nov. –  Naib Presiden Bersatu,  Dr Ronald Kiandee mengingatkan anggota parti supaya menjadikan parti itu sebagai ‘rumah untuk diduduki’ bukannya sekadar ‘rumah tumpangan’

Justeru, katanya parti perlu diperkukuhkan di semua peringkat dengan menambah cawangan serta keahlian melalui gerakan menyantuni orang ramai terutama pengundi 18 dan wanita untuk menyertai Bersatu.

“Jangan kita mengharapkan gelombang kerana ia akan reda. Kita akan jadi macam ‘rumah tumpangan, homestay yang sementara dan bukan ‘a home to stay’ (rumah untuk didiami) bagi mereka yang keluar PKR, UMNO dan parti lain,” katanya.

Dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini, hari ini, Ahli Parlimen Beluran itu menarik perhatian perwakilan bahawa selepas tujuh tahun ditubuhkan, ada bahagian yang cawangannya kurang daripada 10.

“Kita nak ganti UMNO kan, nak jadi parti Melayu ulung selepas UMNO, tetapi kita tak mahu cawangan ditambah, mana boleh itu, jika kita tidak mahu tambah ahli, cawangan hasrat kita uhtuk menambah ahli Parlimen , ADUN tidak akan tercapai.

Cawangan perlu ditambah dan Ketua Bahagian tak boleh marah kalau ada tambahan cawangan. Ini keputusan kepemimpinan tertinggi parti,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada ketua bahagian supaya tidak terlalu menumpukan usaha untuk mengekalkan kuasa mahupun marah jika berlaku pertambahan bilangan cawangan di kawasan masing-masing.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan sayap Bersekutu Bersatu dan Srikandi Muda supaya segera memperbaiki kedudukan masing-masing yang ketika ini masih berstatus sayap penaja.

“Baiki sayap ini dan perkemaskan cawangan. Bukan asyik buang atau ‘pancung’ orang. Justeru, pemimpin setiap tahun perlu memperkemaskan cawangan masing-masing.

“Kita mahu lebih ramai anak muda dan golongan wanita menyertai serta mengundi parti kita. Kalau ini kita buat, Bersatu akan jadi alternatif (kepada parti politik lain),” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment