Kes jangkitan kembali kepada 6,000

PUTRAJAYA 29 Jun – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 kembali kepada angka 6,000:hari ini dengan merekodkan 6,437 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 745,703 kes.

Kali terakhir angka 6,000 dicatatkan adalah pada 18 Jun lalu dengan 6,440 manakala kes tertinggi pada 30Mei lalu sebanyak 6,999 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 5,298 kes sembuh dilaporkan yang menjadikan jumlah keseluruhan 677,751.

Daripada 6,437 kes baharu, sebanyak 14 kes import dilaporkan melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara manakala kes tempatan melibatkan 6,423 kes iaitu 4,672 warganegara dan 1,751 bukan warganegara.

Sebanyak 107 lagi pesakit termasuk lapan bukan warganegara meninggal dunia yang menjadikan jumlah kumulatif 5,108 kematian.

Selangor merekodkan 43 kematian diikuti  Negeri Sembilan 16, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 11,  masing-masing tujuh kes di Kedah dan Melaka, enam kes di Johor, masing-masing empat kes di Sabah, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing dua  kes di Sarawak dan Pahang, serta satu kes di Terengganu.

Kes aktif pula sebanyak 62,844 dan 905 menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 455 kes memerlukan bantuan pernafasan .

Sementara itu jumlah kluster meningkat kepada 2,821 termasuk 27 kluster baharu. Bagaimanapun 1,934 kluster telah tamat dan 887 masih aktif.

Related posts

Leave a Comment