Ibarat pertandingan persahabatan

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pertembungan calon UMNO dan Pas di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai persaingan sahabat yang tidak akan melunturkan semangat penyatuan ummah.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, berkata UMNO menyifatkan Muafakat Nasional (MN) yang dijalin dua parti itu tidak pernah berakhir, walaupun Pas menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dan memilih bersama perikatan itu pada PRN Melaka.

“Di Melaka ini kita anggap pertandingan persahabatan. Kalau kita boleh untuk berkata begitu, begitulah. Ini cuma masalah pertandingan persahabatan dan dalam politik tidak ada naib juara.

Kalau orang nombor satu di situ, katakanlah calon UMNO dapat 4,000 undi, calon Pas dapat 3,000 undi, Pas itu tidak boleh jadi timbalan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“ADUN itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan tiada yang kedua,” katanya ketika menjadi panel dalam program bual bicara sebuah portal berita, hari ini.

Beliau berkata, dalam mana-mana pilihan raya pun penyertaan UMNO dan BN perlu untuk menang walaupun terpaksa bertembung dengan rakan politik sendiri.

“Kita berperang mesti nak menang, tetapi ini perang politik sahaja. Perang poster, perang media sosial, perang isu, perang calon, perang akujanji, kita berperang politik.

“Dalam peperangan ini, kita mesti nak menang. Kalau bukan kerana itu masuk perang tidak mahu menang, baik tak payah masuk perang.

“Ada satu, dua parti yang mahu cuba-cuba atau calon Bebas yang mahu cuba-cuba, tanya pada diri mereka ada sokongan atau tidak, tetapi saya yakin rakyat dan pengundi masih tetap kekal melihat jasa UMNO dan BN dalam kehidupan mereka,” katanya.

Katanya, keputusan Pas menggunakan logo PN dalam PRN kali ini agak aneh kerana sejak penubuhannya, parti itu tidak pernah menggunakan lambang lain ketika bertanding dalam pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment