Lebih 100,000 minta sokongan emosi

PUTRAJAYA 25 Jun – Sebanyak 122,328 panggilan meminta bantuan sokongan emosi dan kauseling direkodkan menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) sejak awal tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu direkodkan bermula 1 Januari sehingga 18 Jun lepas dan sebanyak 109,806 panggilan atau 89.4 peratus daripadanya berkait rapat dengan isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial akibat pandemik Covid-19.

Antara masalah yang dilaporkan ialah kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan, kehilangan tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga seperti pertengkaran, perpisahan, penceraian serta penderaan (emosi dan fizikal).

Dalam kenyataannya, beliau berkata tekanan tidak hanya dialami oleh kakitangan di sektor awam serta petugas kesihatan atau frontliners, tetapi tekanan turut dirasai golongan lain dalam kalangan masyarakat.

Talian bantuan yang diwujudkan sejak 25 Mac 2020 dikendalikan oleh pegawai psikologi kaunseling KKM dan sukarelawan pegawai psikologi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati, kebanyakan pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Selain talian bantuan itu, Dr Noor Hisham berkata inisiatif lain yang turut dilaksanakan termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu ‘KSK Care’ (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Talian KASIH.

Di peringkat lapangan seperti hospital dan klinik kesihatan pula, inisiatiaf bantuan yang dilakukan ialah Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau MHPSS disediakan untuk kumpulan sasar.

Kumpulan sasar merangkumi individu dalam perhatian (PUS) di Stesen Kuarantin dan di rumah, pesakit Covid-19 di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), petugas kesihatan dan agensi lain yang bertugas menangani wabak serta ahli keluarga individu yang meninggal akibat Covid-19.

Beliau menasihatkan masyarakat mengambil langkah mengurangkan impak psikologikal sepanjang pandemik, seperti mengenal pasti punca kebimbangan dengan mendapatkan maklumat yang tepat dan betul selain mengelakkan diskriminasi, stigma serta melabel secara negatif mereka yang dijangkiti Covid-19.

Dr Noor Hisham juga menyarankan masyarakat mengekalkan kecergasan optima dan ketenangan jiwa; memastikan komunikasi berterusan dengan keluarga dan rakan; peka terhadap perubahan diri serta individu yang memerlukan sokongan dan paling penting, segera mendapatkan khidmat kaunseling jika perlu sokongan emosi

Related posts

Leave a Comment