Khutbah hargai Allahyarham Harussani

IPOH 11 Jun – Khutbah Jumaat di Perak hari ini memberi fokus terhadap peranan ulama, menghormati dan menghargai nasihat dan pandangan ulama di samping terus berusaha melahirkan lebih ramai ulama.

Khutbah bertajuk Ulama Pembimbing Ummah itu turut memberi penghormatan khusus kepada Sahibus Samahah Harussani Zakaria yang kembali ke Rahmatullah pada 30 Mei lalu setelah berkhidmat sebagai Mufti Negeri Perak selama 36 tahun.

Menurut khutbah itu, ilmu yang dimiliki oleh seseorang ulama, bukan sekadar tertulis di atas kertas, namun penghayatannya turut terzahir daripada gerak laku yang terpamer secara zahir dan batin.

“Ummah meletakkan kepercayaan tinggi pada ulama, kerana ummah berpegang bahawa para ulama mengamalkan sifat takut pada Allah SWT mengatasi sifat takut pada yang lain, lantas para ulama akan bersifat amanah dan tidak mungkin mengkhianati ummah,” kata khutbah itu.

Justeru kehadiran seseorang ulama sangat dihargai, sementara kehilangannya merupakan kehilangan yang tiada tolok gantinya.

Kata  Imam Hasan Al-Bashri yang bermaksud: “Matinya seorang alim laksana patahnya mercu tanda Islam yang tidak akan mampu ditampung sesuatu pun, walau silih berganti malam dan siang.”

(Riwayat Imam Ad-Darimi 333)

Dalam budaya masyarakat Melayu, ulama dipandang mulia dan diberikan penghormatan tinggi seperti dibayangkan dalam pantun-pantun Melayu lama;

“Kalau kenduri berlama-lama, pakai talam menghidang-hidang; Kalau negeri tak berulama, bagaikan malam tidak berbintang.

“Besarlah rusa di dalam rimba, rusa dibantai kerana jerat; Besarlah jasa alim ulama, jasa terpakai dunia akhirat,”

Menyentuh mengenai Allahyarham Harussani, sebagai menjunjung amanah sebagai Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, Allahyarham menyempurnakan tanggungjawab tanpa mengenal jerih atau perih, jemu atau bosan; gigih dan tekun berusaha mentarbiahkan ummah dan menyebarkan syiar Islam.

Allahyarham telah menyempurnakan tanggungjawab secara tegas lagi berani, teguh berpegang kepada prinsip yang berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah, serta logik qias yang bernas.

Sepanjang hayatnya, agama Islam, Institusi Raja Melayu, orang Melayu, kedudukan dan pencapaian ummah dari sudut pendidikan dan ilmu, taraf sosial dan kemajuan ekonomi, perpaduan dan penguasaan politik, merupakan mauduk-mauduk yang sangat dekat di hati beliau.

Allahyarham  senantiasa menyuarakan peringatan akan pentingnya Raja Pemerintah sebagai payung Agama Islam dan benteng pertahanan adat Melayu.

Justeru, para ulama dan para wazir wajib menyembahkan sebaik nasihat kepada Raja Pemerintah agar institusi tersebut, dijamin kedaulatannya, dan tidak dicemari atau dipersendakan.

Kini khidmat dan bakti Allahyarham kepada negeri dan ummah tinggal dalam kenangan.

Sepanjang perjuangan dakwahnya, sering kali murabbi ini menitiskan air mata, memikirkan nasib agama dan bangsanya. Moga titisan air mata Allahyarham itu akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk kita teruskan.

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap kejadian. Mungkin telah sampai waktunya, insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi Rabnya,meninggalkan amanat dan tanggungjawab untuk diteruskan oleh kita yang masih dikurniakan usia di dunia ini.

“Kepada Allah SWT kita pohonkan doa agar roh Allahyarham Tan Sri Harussani bin Zakaria dilimpahi sebesar-besar rahmat dan ditempatkan bersama roh para Solihin, di samping mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham menerima kesedihan perpisahan ini dengan ketabahan dan keredaan yang meningkatkan ketakwaan,” kata khutbah itu.

Related posts

Leave a Comment