Brunei guna ‘perisai bersepadu’

BERAKAS 11 Jun  Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah menaruh harapan agar rakyat baginda sama ada generasi hari ini atau generasi akan datang menjadikan membaca al-Quran sebagai budaya sepanjang zaman.

“Kita orang Islam janganlah berenggang dari al-Quran, jangan lari dari membacanya,” titah baginda dengan merujuk pelbagai cara untuk meraih keberkatan al-Quran itu, antaranya membaca, menghafaz dan memahami isi kandungannya.

Titah baginda, Brunei Darussalam amat bertuah sekiranya hasrat itu tercapai kerana negara akan mendapat berkat dan ‘dihiasi dengan cahaya’ sekiranya rakyat baginda terus membaca dan mendampingi al-Quran.

“Bukankan al-Quran itu memang ia cahaya? Cahaya al-Quran bukan seperti cahaya lampu atau pelita, tetapi cahaya al-Quran mampu untuk menerangi hati sanubari dan menerangi kehidupan, bahkan menerangi alam kubur menurut ugama,” titah baginda di sini malam tadi.

Baginda bertitah demikian pada majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah /2021 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Menurut baginda dalam situasi menghadapi wabak koronavirus Covid-19, Brunei Darussalam turut mengambil keberkatan ayat-ayat suci al-Quran bagi tujuan berlindung dan berubat daripada pelbagai penyakit dan musibah.

“Kita telah memakainya bersama-sama SOP biasa sebagai ‘perisai bersepadu’.

Dan, alhamdulillah, kesan dari penggunaan perisai bersepadu ini, tambah baginda lagi, Brunei Darussalam telah dilihat sedang dibentengi oleh keberkatan yang menakjubkan yang menjadikannya terselamat daripada serangan wabak.

“Ini adalah situasi luar biasa, di mana kita jangan menganggapnya sebagai ringan sahaja,” tegas baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, secara peribadi baginda amat meyakini bahawa apa jua jenis virus yang membentuk wabak, tidak akan mampu untuk melangkahi ayat-ayat suci al-Quran.

Pada musabaqah itu, johan qari, Awang Mohammad Zul-Hafiz membawa pulang hadiah wang tunai BND7,000 berserta piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan, pakej menunaikan fardu haji (johan kali pertama), kepingan emas 10 gram dan sebidang kain tenunan Brunei.

Johan qariah, Dayang  Nurfaezah juga membawa pulang hadiah wang tunai BND7,000 berserta piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan, kepingan emas 10 gram dan sebidang kain tenunan Brunei.

Related posts

Leave a Comment