Guterres kekal SU Agung PBB

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan usul melanjutkan penggal Setiausaha Agungnya Antonio Guterres bagi penggal kedua.

Bekas Perdana Menteri Portugal itu memegang jawatan berkenaan sejak 2017, Setiausaha Agung PBB yang ke-9.

Sepuluh individu lain turut berminat untuk jawatan Setiausaha Agung itu tetapi tiada calon rasmi yang layak kerana tiada satu pun daripada 193 negara anggota menyatakan sokongan.

Berikutan lanjutan penggal ini, penyelesaian konflik menjadi keutamaan Guterres yang dijangka disahkan Perhimpunan Aagung PBB tidak lama lagi.

Ketika mula memegang jawatan berkenaan, Guterres berdepan cabaran mengehadkan kesan daripada dasar luar bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Ahli politik dan diplomat ini pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian antara tahun 2005 dan 2015.

Beliau merupakan Perdana Menteri Portugal dari tahun 1995 sehingga 2002 serta juga Setiausaha Am Parti Sosialis Portugal dari tahun 1992 sehingga tahun 2002. Beliau turut berkhidmat sebagai Presiden Sosialis Antarabangsa dari tahun 1999 hingga 2005.

Related posts

Leave a Comment