Dua kluster ziarah Aidilfitri

KOTA KINABALU 8 Jun – Sabah melaporkan empat kluster baharu Covid-19 semalam   dengan dua daripadanya berkaitan sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, kata

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Dalam kenyataannya malam tadi, Kluster Kampung Bolong Baru di daerah Tuaran dan Kota Belud merekodkan 33 kes dan Kluster Taman Wawasan di daerah Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu merekodkan 30 kes.

Katanya, Kluster Kampung Bolong Baru menular dalam komuniti dan tempat kerja di mana kes indeks,  suri rumah, 28, dari Kampung Bolong Baru yang demam, sakit tekak, selesema, batuk dan hilang deria bau sejak 22 Mei, sebelum disahkan positif RTK Antigen pada 27 Mei.

Saringan kontak dijalankan pada 27 Mei terhadap 259 kontak rapat dan tempat kerja iaitu QL Marine, Tuaran. Daripada jumlah itu, 26 kes positif didaftarkan di daerah Tuaran manakala tujuh lagi di daerah Kota Belud.

“Berdasarkan maklumat, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada ahli keluarga dalam aktiviti kunjung – mengunjung pada hari raya pertama dan kedua di Kg Bolong Baru, Kg Tambalang dan Kg Kota, Tuaran,” katanya.

Bagi Kluster Taman Wawasan pula direkodkan di Hospital Papar apabila ujian RT-PCR kluster indeks, lelaki, 66, disahkan positif pada 18 Mei, setelah bergejala sejak 7 Mei namun tidak mendapatkan rawatan.

Saringan kontak pada 22 Mei mendapati dua kes positif masing-masing di Klinik Kesihatan dan klinik swasta di Kota Kinabalu di mana kedua-dua kontak rapat ini terlibat dengan aktiviti kunjung-mengunjung hari raya di Kampung Tarap Bongawan.

Turut dikesan positif, empat sekeluarga di Taman Wawasan Beaufort yang membawa kepada penemuan 16 lagi kes positif di taman terbabit. Pada 7 Jun, tujuh kes baharu dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30 kes.

Dua lagi kluster adalah Kluster Hamparan, Kinabatangan membabitkan jangkitan dalam kalangan pekerja serta keluarga di Kilang Sawit Ong YaHoo.

Kes indeks merupakan wanita, 26, pekerja pengurusan (Quality Assurance Executive) di kilang berkenaan yang disahkan positif (RTK-Ag) di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 29 Mei, setelah mengalami gejala sejak 25 Mei.

Saringan kontak mendapati 17 kes positif di tempat kerja serta sembilankes lagi adalah kontak tanggungan (dependant), menjadikan jumlah kumulatif 27 kes.

Kluster Jalan Budi, Tawau melibatkan individu yang dikesan negatif RT-PCR ketika menjalani saringan masuk ke Sabah pada 19 Mei, namun disahkan positif dalam saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada 2 Jun.

Kes indeks merupakan wanita, 37, pekerja salon kecantikan di Johor mula bergejala pada 30 Mei, sebelum didapati positif pada 2 Jun. Saringan kontak rapat kemudian menemukan sembilan kes positif dalam kalangan rakan serumah, menjadikan jumlah terkini sebanyak 10 kes.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menetapkan premis menjual makanan, peruncitan dan pengedaran antaranya restoran, pasar raya, farmasi, kedai serbaneka dan kedai perkakasan beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pasar awam dan pasar harian pula dibenar beroperasi 6 pagi hingga 3 petang manakala stesen minyak serta kedai serbaneka di stesen itu dari 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Masidi berkata institusi kewangan dan perbankan dibenar beroperasi 8.30 pagi hingga 5.30 petang manakala pejabat firma profesional seperti akauntan, peguam dan jurutera dibenar beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang.

Related posts

Leave a Comment