“Tanpa PKP 3.0 sistem kita lumpuh”

KUALA LUMPUR 3 Jun – Sistem perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh menjelang 5 Jun ini sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata ia unjuran situasi terburuk di Malaysia memandangkan kadar jangkitan harian semakin meruncing, mencecah 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

Sehubungan itu, katanya, keputusan tuntas dengan mengumumkan perintah sekatan pergerakan menyeluruh perlu dibuat kerajaan bagi membendung risiko perkhidmatan kesihatan daripada lumpuh.

“Kita bentangkan pelan kontingensi dan pengurusan COVID-19 sejak awal Mei apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt mula meningkat, sekitar 1.1 hingga 1.2.

Oleh itu, kita cadangkan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 12 Mei lalu, bagi mengawal penularan jangkitan yang berpunca daripada 60 peratus kes sporadik dan 40 peratus kes berkaitan kluster,” katanya.

Kerajaan pada 25 Mei memutuskan PKP dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selepas melihat nilai Rt mengikut unjuran model kes sudah melepasi 1.2 dan semakin meningkat.

“Selain itu, kita berdepan kebimbangan peningkatan penularan jangkitan yang berpunca daripada pelbagai varian baharu, iaitu Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Related posts

Leave a Comment