MITI bukan penentu tunggal

PUTRAJAYA 3 Jun – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan itu dianggap penting atau sebaliknya, tegas Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, surat kebenaran beroperasi oleh Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) hanya dikeluarkan setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI.

Jelasnya lagi, sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.

Azmin berkata, setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

“Namun, terdapat juga beberapa Kementerian seperti MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI.

“Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.

“Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment