45 kes jangkitan di Singapura

SINGAPURA 3 Jun – Singapura melaporkan 45 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini, kes harian tertinggi, yang melibatkan 35 kes dalam masyarakat dan 10 kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 62,145 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 22 kes dikaitkan dengan MINDSville @ Napiri, sebuah kemudahan bagi golongan dewasa berkeperluan khas di Hougang dan 12 lagi kes baharu dalam masyarakat tiada kaitan dengan kes sebelumnya.

Kes import pula melibatkan lima daripada mereka adalah warga Singapura atau penduduk tetap yang baru pulang ke sini.

Bagi kes melibatkan kluster MINDSville@Napiri, tiga daripadanya yang menerima vaksin sepenuhnya bekerja sebagai penolong jururawat di kemudahan itu yang dikesan menerusi ujian proaktif ke atas kakitangan di situ.

Salah seorang tidak mengalami gejala manakala dua lagi mengalami simptom selepas diuji bagi Covid-19.

Sebanyak 19 kes lain yang berkaitan dengan MINDSville@Napiri adalah penghuni rumah itu yang sudah dikuarantin.

Sementara itu, satu kluster baharu yang terdiri daripada 13 kes dikesan di kawasan Blok 506 Hougang Avenue 8.

Sebanyak 12 kes yang disahkan sebelumnya dikaitkan dengan kluster  ini.

Siasatan genom dan analisis filogenetik yang dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional menunjukkan hubungan antara kes sebelumnya dengan kluster ini.

Kes terbaru melibatkan seorang suri rumah Singapura berusia 58 tahun, yang tinggal di blok tersebut dan menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 18 Mei.

Beliau mengalami demam pada 29 Mei, batuk pada 30 Mei dan selesema pada 31 Mei yang kemudian wanita itu mendapatkan rawatan perubatan di sebuah poliklinik pada 1 Jun.

Beliau turu menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), serta langsung diasingkan apabila hasil ARTnya kembali positif pada hari yang sama.

Hasil ujian PCR beliau juga positif bagi jangkitan Covid-19 pada 2 Jun. Hasil ujian serologinya negatif bagi antigen N, yang menunjukkan adanya jangkitan awal.

Related posts

Leave a Comment