40 peratus divaksinasi di Arab Saudi

RIYADH 31 Mei – Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan 40 peratus daripada penduduk negara itu telah diberi suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos sejak program vaksinasi dimulakan sehingga semalam.

Penolong Setiausaha Kementerian Kesihatan untuk Kesihatan Pencegahan, Dr Abdullah Asiri, melalui Twitter berkata 40 daripada setiap 100 orang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat ini, lebih 13.9 juta vaksin Covid-19 telah diagihkan ke 587 tempat untuk program vaksinasi.

Sebelum ini, pada 10 April lalu, kementerian menangguhkan pemberian vaksin dos kedua bagi membolehkan lebih ramai mendapat sekurang-kurangnya satu dos. Bagaimanapun dos kedua masih diberi kepada yang berumur 60 tahun ke atas.

Arab Saudi yang memulakan kempen vaksinasi pada 17 Disember lalu menyasarkan untuk melengkapkan program berkenaan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Kempen vaksinasi itu memberi keutamaan kepada mereka yang berumur 65 tahun ke atas, penghidap penyakit kronik dan barisan hadapan termasuk kakitangan sektor kesihatan.

Pusat vaksinasi pertama dibuka di Riyadh diikuti Jeddah, Dammam, Madinah, dan Makkah.

Related posts

Leave a Comment