Kluster aktiviti ziarah Aidilfitri

KUCHING 30 Mei – Dua lagi kluster baharu Covid-19 diisytiharkan iaitu Kluster Gerigat di Kabong dan Kluster Sungai Parik di Sri Aman, menjadikan 80 kluster yang masih aktif di negeri ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kluster Gerigat merupakan kluster komuniti yang dikesan di sebuah kampung di Gerigat, Kabong yang merebak melalui pergerakan sosial dan aktiviti ziarah Aidilfitri.

“Sejumlah 358 individu disaring dan 20 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 12 kes didapati negatif dan 326 kes masih menunggu keputusan,” kata JPBN.

Kluster Sungai Parik pula merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan empat lokaliti di kawasan Sungai Parik di Lingga dan Tanjung Bijat, Sri Aman.

Jelasnya, 130 individu telah disaring dengan 24 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, tujuh didapati negatif dan 99 masih menunggu keputusan.

Sementara itu, JPBN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam di tujuh lokaliti susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan terbabit. 

PKPD itu melibatkan lima Rumah Panjang (Rh.) di Lingga, Sri Aman iaitu Rh. Gerunsin Kampung Banting Ili; Rh. Somil Kampung Nansang Ulu Banting; Rh. Kedang Kampung Telok Mulong Banting; Rh. Tanchin Kampung Nansang Ili Bantin dan Rh. Johned Jungkong Balau Bakong.

Selain itu, Rh. Ujan, Nanga Spaya Engkari, Lubok Antu dan Rh. Lau, Rantau Pitak Entabai, Julau turut dikenakan PKPD.

Sarawak mencatatkan 513 kes baharu COVID-19 hari ini dengan 226 daripadanya telah dikesan di daerah Kuching dan Miri selain empat kematian dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment