Siasatan tanpa ‘diracuni politik’

GENEVA 29 Mei – Siasatan mencari asal usul Covid-19 tidak sepatutnya ‘diracuni’ pihak yang berkepentingan politik, kata Pengarah Program Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Michael Ryan.

“Kami mahu, sekiranya boleh, pisahkan politik dengan sains. Keseluruhan proses ini diracuni oleh politik”, katanya merujuk pertelingkahan antara Amerika Syarikat dan China berhubung siasatan berterusan dalam mencari asal-usul Covid-19.

Katanya, para saintis hanya boleh berkolaborasi dan mendapatkan jawapan dalam persekitaran yang tidak menyalahkan sesiapa dalam mencari asal-usul virus supaya semua pihak dapat belajar bagaimana mencegah perkara ini berulang.

“Kami meminta agar perkara ini dilakukan tanpa campur tangan politik di mana sains dan kesihatan adalah objektif dan bukannya menyalahkan dan berpolitik,” tegasnya di sini.

Dr. Ryan menyatakan siasatan itu dijangka memerlukan banyak kajian dan usaha untuk menentukan asal-usul koronavirus.

Jelasnya perkara itu kemungkinan besar sukar dilakukan disebakan kerumitan tugas berkenaan.

Tambah Dr. Ryan, arahan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden supaya agensi risikannya memperbaharui usaha menyiasat asal-usul Covid-19, sebahagian besarnya tanpa mempunyai bukti yang kukuh.

Katanya semua hipotesis mengenai bagaimana pandemik itu bermula hanya dilakukan di atas meja dan tiada tindakan lanjut.

Dalam laporan dikeluarkan pada Mac, sebuah pasukan antarabangsa diketuai WHO menyimpulkan bahawa kemungkinan besar virus itu tersebar kepada manusia dari kelawar melalui haiwan perantara.

WHO turut menyatakan, kemungkinan wabak itu bermula akibat kebocoran makmal di Wuhan sebagai ‘sangat tidak mungkin’.

Related posts

Leave a Comment