Kecuaian punca pertembungan LRT

KUALA LUMPUR 25 Mei – Siasatan awal kes pertembungan antara dua kereta api LRT di Kuala Lumpur menunjukkan kecuaian pemandu sebagai punca kemalangan, kata Menteri Pengangkutan  Wee Ka Siong hari ini.

Pertembungan itu, yang berlaku berdekatan stesen KLCC menyebabkan lebih 210 penumpang cedera, dengan enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

“Siasatan awal menunjukkan kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pengendalinya yang memandu (kereta api) TR40 ke arah yang salah. Dia sedang memandu kereta api yang rosak itu ke depot.

“TR40 itu sepatutnya menghala ke arah selatan ke Dang Wangi, tetapi sebaliknya ia bergerak ke arah utara, laluan yang berbeza. Ini menyebabkan pertembungan antara TR40 dengan TR81.”

Beliau menjelaskan bahawa TR40, yang tidak membawa penumpang, sedang bergerak ke arah selatan dari Gombak ke Subang, apabila ia “mengalami kerosakan” di stesen Kampung Baru.

Kerosakan itu berlaku kerana kereta api tersebut gagal beroperasi secara automatik.

Pusat operasi utama kemudian mengarahkan pemandu TR40 supaya memandu secara manual dari stesen Kampung Baru ke stesen Dang Wangi.

Bagaimanapun, pada pukul 8.33 malam, pemandu itu menghubungi pusat kawalan utama untuk memaklumkan bahawa TR40 sudah bertembung dengan satu lagi kereta api, yang kemudian dikenal pasti sebagai TR81.

Related posts

Leave a Comment