Maut akibat jangkitan rabies

KUCHING 24 Mei  – Seorang wanita maut akibat jangkitan rabies di daerah Selangau dekat Sibu, Sarawak, kematian ke 32 sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Menurutnya, mangsa berusia 45 tahun digigit oleh anjing peliharaannya pada tangan kiri semasa meleraikan pergaduhan antara anjing miliknya dengan anjing lain pada 9 Mac lepas.

“Kes telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama dan rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan janji temu susulan telah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mangsa bagaimanapun telah tercicir daripada menjalani rawatan susulan dan setelah berjaya dikesan, wanita itu telah diberikan suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April.

“Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas pada bahagian tangan kiri semasa mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil daripada mangsa dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). 

“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei. Dalam pada itu, keadaan pesakit semakin merosot dan kes telah meninggal dunia pada 7.13 pagi 6 Mei dengan diagnosa rabies encephalitis,” katanya.

Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan.

Ini termasuk rawatan kes, pemberian vaksin anti-rabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.

Related posts

Leave a Comment