Bazar Aidilfitri sehingga 2 pagi

KUALA LUMPUR 23 April – Prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Aidilfitri bakal diumumkan minggu depan manakala bazar Aidilfitri dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi mulai esok, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan sedang dalam proses memperhalusi cadangan dan saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan.

“Kita mendengar pembentangan Jakim berkenaan SOP hari raya seperti takbir, solat Aidilfitri, menziarahi kubur dan lain-lain. Buat masa ini kita sedang memperhalusinya kerana terdapat beberapa teguran mengenai cadangan Jakim.

Kita akan mengemas kini dan menambah baik beberapa bahagian dan minggu depan, kita akan umumkan SOP yang lebih terperinci,” katanya dalam sidang media khas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Mengenai lanjutan tempoh urus niaga bazar Aidilfitri, kerajaan prihatin dengan keluhan peniaga berkenaan tempoh perniagaan yang singkat.

“Kita diberitahu orang ramai akan berkunjung ke bazar, kebiasaannya selepas selesai solat tarawih. Dengan waktu perniagaan sekarang sehingga 12 tengah malam, waktu urus niaga mereka sangat singkat, ” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment