Apa pula nasib pekerja asing rentas Nilai?

NILAI 3, Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Daerah Kajang di Selangor tiba-tiba popular apabila dikaitkan dengan selebriti, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismail.

Bagaimanapun popularnya dalam bentuk sindiran yang mengatasi desakan untuk mendapatkan pencerahan apakah kedudukan sebenar atau status isu ini.

Jika dibaca pelbagai komen, ramai tertanya-tanya dalam bentuk sinis atau sindiran adakah Nilai menggunakan Poskod Kajang, Selangor atau Poskod Nilai, Negeri Sembilan?

Mungkin ramai yang sudah ‘letih’ dengan ‘layanan’ yang mendakwa wujud ‘pilih kasih’ atau pendakwaan ‘antara dua darjat’ berhubung pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP). Maka ramai yang ‘mengirimkan’ sindiran.

Nilai sudah menjadi bahan jenaka. Melalui media sosial ada yang muat naik peta bertanyakan Nilai kini berada di Selangor atau Negeri Sembilan.

Mereka tidak bertanya kenapa Neelofa yang berada di Nilai 3 pada 2 Mei lalu tidak didakwa rentas negeri setelah dimaklumkan perkara itu diputuskan selepas mengambil kira kajian yang dilakukan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sudah sewajarnya AGC tampil memberi penjelasan bagi menamatkan ‘kecaman’  ramai. Isu seperti ini hanya menyebabkan orang ramai membuat pelbagai andaian lebih-lebih lagi melibatkan selebriti. Mangsanya kerajaan khususnya Pak Long Ismail Sabri Yaakob yang saban hari merayu rakyat mematuhi SOP.

Untuk rekod, Nilai 3 bersempadanan dengan Bukit Mahkota (BM) dan Bandar Seri Putra (BSP) yang boleh dimasuki tanpa melalui tol Nilai. Bagi penduduk BM dan BSP, lebih mudah ke Nilai 3 melalui jalan ke kawasan industri Arab Malaysia-Bukit Mahkota.

Bagaimanapun musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada polis berkawal di sempadan itu (sebelum ini) atau diletakkan batu halangan (barrier) bagi mengelakkan orang ramai atau kenderaan merentas negeri.

Baru-baru ini iaitu pada 16 Mei lalu, sekumpulan 19 warga asing  ditahan selepas merentasi batu penghadang serta kawad duri yang dipasang pihak berkuasa di sempadan Nilai – Kajang itu.

Berdasarkan warna pakaian yang sama, mereka mungkin pekerja di kawasan kilang berhampiran. Mungkin mereka tinggal di bangunan kedai pejabat BM dan biasanya berjalan kaki atau berbasikal ke tempat kerja.

Kertas siasatan telah dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan, dan tindakan lanjut pendakwaan akan dilakukan esok (Isnin).

Kesemua tertuduh akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mereka ditahan semasa sepasukan anggota polis membuat operasi pematuhan Covid-19 di  kawasan pentadbiran sempadan Nilai-Kajang.

Katanya, polis terlihat sekumpulan pekerja asing sedang merentasi penghadang batu dan kawad berduri di antara sempadan daerah Nilai-Kajang.

“Kita syaki kesemua individu itu yang datang dari Bukit Mahkota, Bangi telah merentasi batu halangan dan kawad duri yang pihak berkuasa letak di tengah sempadan jalan untuk ke Nilai.

“Tujuan halangan itu diletakkan bagi mengelakkan aktiviti rentas daerah dan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi daerah sempadan,” katanya seperti dilaporkan media.

Apakah nasib warga asing ini? Andai mereka pekerja dan tiada surat pengesahan majikan, sudah tentu mereka dianggap melanggar peraturan, kecuali keputusan di sebaliknya seperti berlaku ke atas Neelofa dan pasangannya.

Kita tunggu keputusan esok.

Related posts

Leave a Comment