Sultan syor perbincangan khas

JOHOR BAHRU 20 Mei – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor mengadakan satu perbincangan khas berhubung Covid-19, yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Melalui perbincangan itu semua Ahli Parlimen dan ADUN boleh memberikan ‘buah fikiran’ dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covif-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Johor.

Titah baginda, pentadbiran kerajaan, semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor perlu memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung dan pada masa sama, mereka yang terkesan hendaklah dibantu.

“Saya sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini, namun, saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan ADUN di Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini,” menurut Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook rasminya hari ini.

Johor merekodkan 699 kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri itu sebanyak 51,916 kes dengan 178 kematian.

Sehingga 18 Mei, Johor mencatatkan 72 kluster aktif Covid-19 melibatkan 28 kluster komuniti, 22 kluster industri, 16 kluster institusi, empat kluster tahanan dan dua kluster pasar raya.

Related posts

Leave a Comment