Angka tertinggi selepas 5,728

PUTRAJAYA 19 Mei – Malaysia mencatatkan jumlah kes harian baharu tertinggi sejak pandemik Covid-19 dilaporkan iaitu sebanyak 6,075 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 485,496.

Jumlah kes harian Covid-19 tertinggi yang pernah dilaporkan di Malaysia sebelum ini adalah sebanyak 5,728 kes iaitu pada 30 Januari 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster baharu harian juga turut mencatatkan bilangan tertinggi yang pernah dilaporkan iaitu sebanyak 22 kluster.

Bilangan kes kritikal yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan pada hari ini juga adalah yang tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 559 kes.

Selain itu, kumulatif kes kematian seluruh negara pula telah mencecah lebih 2,000 kes kematian iaitu sebanyak 2,040 kes.

Sebanyak 46 kes kematian dari seluruh negara telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan pada hari ini, menjadikan kumulatif kes kematian seluruh negara adalah sebanyak 2,040 kes.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 19 kes di Selangor, tujuh kes di Sarawak, enam kes di Johor, empat kes di Kelantan, masing-masing dua kes di Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

Related posts

Leave a Comment