Kes harian di India 281,386

NEW DELHI: India hari ini, Isnin (17 Mei) melaporkan kes harian Covid-19 menurun di bawah 300,000 buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa minggu dengan merekodkan 281,386 kes

Bagaimanapun kes kematian akibat virus itu masih mencecah lebih 4,000 iaitu 4,106 ketika negara itu berjuang memerangi gelombang koronavirus.

Para pakar memberi amaran jumlah yang dilaporkan hampir pasti kurang daripada angka sebenar kerana kurangnya ujian CAovid-19 dijalankan di kawasan luar bandar, di mana virus ini menyebar dengan cepat.

Kira-kira dua pertiga daripada 1.35 bilion penduduk negara tersebut tinggal di kawasan-kawasan ini.

Beberapa pakar berkata jumlah jangkitan dan kematian sebenar mungkin lima hingga 10 kali lebih tinggi.

Pada kadar sekarang, jumlah kes jangkitan Covid-19 di India dijangka melepasi angka 25 juta dalam beberapa hari akan datang sejak pandemik itu melanda setahun lalu. Jumlah kematian pula dianggar mencecah 274,390 orang.

Negeri di pesisir pantai Barat India, Gujarat yang sedang bersiap-sedia berdepan ribut taufan menyebabkan langkah kawalan Covid-19 yang dilaksanakan terjejas.

Gujarat bertindak menangguhkan program vaksinasinya selama dua hari susulan bencana berkenaan.

Taufan Tauktae yang dijangka melanda selewat-lewatnya esok kini menyebabkan banjir sehingga mengorbankan nyawa akibat angin kuat dan hujan lebat.

Selain di Gujarat, usaha keseluruhan vaksinasi di India juga berdepan jalan sukar apabila banyak negeri mengakui tidak mendapat bekalan yang mencukupi.

Sejauh ini India sudah memberi suntikan vaksin kepada sekitar 40.4 juta orang atau 2.9 peratus penduduk negara itu.  

Related posts

Leave a Comment