Singapura catat kes harian tertinggi

SINGAPURA 15 Mei – Sebanyak 61,505 kes Covid-19 direkodkan Singapura setakat ini di mana 52 kes baharu dilaporkan sehingga tengah hari semalam, iaitu kes  harian tertinggi sejak 30 Januari lalu apabila 58 kes dilaporkan.

Sebanyak 20 daripada kes baharu itu dikaitkan dengan kluster sebelum ini termasuk 13 kes berkait dengan kluster Lapangan Terbang Changi.

Kementerian Kesihatan (MoH), dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan lima kes dikaitkan dengan kluster baharu di Learning Point, sebuah pusat tuisyen di Parkway Center yang melibatkan empat murid lelaki dan seorang perempuan, berusia tujuh hingga sembilan tahun.

Kes pertama yang dikesan dalam kluster itu adalah, seorang guru tuisyen berusia 50 tahun yang bekerja di pusat itu dan disahkan positif Covid-19 pada 12 Mei.

Kesemua murid itu mengikuti kelas dikendalikan guru berkenaan dan mereka mengalami simptom koronavirus sebelum didiagnosis dengan Covid-19, seperti demam atau selesema. Kluster itu kini mempunyai enam kes.

Satu lagi kluster dikaitkan dengan jururawat Hospital Besar Sengkang yang mempunyai tiga kes.

Kluster ini melibatkan seorang lelaki Filipina berusia 39 tahun yang bekerja di Farmasi Unity dan merupakan kontak isi rumah, seorang warga Filipina yang bekerja sebagai jururawat pembedahan di Hospital Besar Sengkang.

Beliau juga merupakan anggota keluarga budak lelaki Filipina berusia tujuh tahun yang merupakan murid di Sekolah Rendah Yio Chu Kang.

Sementara itu, kluster Hospital Tan Tock Seng (TTSH).menambah satu lagi kes melibatkan lelaki tempatan berusia 88 tahun yang dimasukkan ke Wad 9D dari 19 April. Lelaki itu diuji bagi Covid-19 setiap hari dari 2 Mei dan semua keputusan ujiannya negatif sehinggalah pada 12 Mei, hasil ujiannya positif.

Bagi kluster Lapangan Terbang Changi pula, sebanyak 13 kes baharu dilaporkan yang antara lain melibatkan pengetua di sebuah sekolah bahasa,  pegawai perkhidmatan yang bekerja di Ngee Ann City, seorang eksekutif penjualan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, dua pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang ditempatkan di Terminal 3, serta dua pekerja pembersihan yang bekerja di Kopitiam Square di Sengkang.

Turut terlibat seorang suri rumah berusia 91 tahun yang merupakan kontak isi rumah kes yang disahkan sebelum ini, seorang jurutera sokongan IT yang bertugas di Terminal 1 dan 4 Lapangan Terbang Changi, seorang pekerja pembersihan yang bekerja di Robinson 77, dan dua pegawai keselamatan penerbangan Certis Cisco.

Sebanyak 28 kes import dilaporkan, di mana 19 daripada mereka adalah warga Singapura atau penduduk tetap yang pulang ke sini.

Related posts

Leave a Comment