Langkah sukar tetapi perlu dilakukan

SINGAPURA 14 Mei – Perdana Menteri Lee Hsien Loong akur sekatan lebih ketat dan sukar bagi semua orang diperlukan untuk mencegah timbul lebih banyak kes baharu.

Lee berkata, Singapura akan berjaya membendung penularan virus itu jika semua pihak memainkan peranan dan menjaga satu sama lain.

Melalui Facebooknya, beliau berkata terbentuknya kelompok-kelompok baharu dan kes dalam masyarakat yang tidak berkait dengan kes sebelumnya sepanjang dua minggu lalu amat membimbangkan.

Katanya, Singapura sedang melakukan ujian lebih intensif dan berusaha sedaya upaya untuk menyekat penularannya.

Namun, tambah Lee sekatan lebih ketat diperlukan dan beliau menyeru orang ramai, seberapa boleh jangan keluar rumah kecuali untuk urusan penting. 

Sebelum itu, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkan sekatan-sekatan Covid-19 yang lebih ketat.

Sementara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam catatan di Facebooknya faham bahawa ramai kecewa dan hampa tetapi langkah-langkah itu terpaksa diambil demi melindungi diri dan mereka yang tersayang.

“Berikutan kenaikan jumlah kes dalam masyarakat kebelakangan ini, terutama kes-kes yang tiada kaitan, kita harus cuba sedaya-upaya untuk memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

Katanya, kegiatan keagamaan bagi masyarakat Melayu/Islam turut terjejas di mana solat berjemaah serta majlis pernikahan dihadkan kepada jumlah yang lebih kecil iaitu 50 orang tanpa ujian atau sehingga 100 orang dengan ujian sebelum acara.

Beliau juga menggesa orang ramai agar terus bekerjasama dan duduk di rumah seberapa yang boleh.

Related posts

Leave a Comment