Hati-hati posting hari raya

SEREMBAN 13 Mei – Jangan ghairah ‘posting’ suasana hari raya. Ini kerana pemeriksaan polis sempena perayaan Aidilfitri tidak hanya tertumpu kepada sekatan jalan raya (SJR) tetapi ‘posting’ atau hantaran masyarakat dalam media sosial seperti Facebook juga dipantau.

Langkah itu bagi memastikan arahan ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19, dipatuhi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Muhammad Mat Yusop berkata meskipun jalan raya beberapa hari ini lengang dan kenderaan masuk ke negeri itu juga kurang, pemantauan serta pemeriksaan menyeluruh tetap dilakukan lebih 160 anggota polis di sini.

“Selepas solat sunat Aidilfitri mungkin masyarakat akan kunjung-mengunjung, jadi hari ini pasukan pemantau ditambah untuk melakukan pemeriksaan di sekitar taman-taman perumahan dan sempadan daerah di negeri ini.

“Kalau pasukan menerima ‘posting’ gambar-gambar tertentu yang menunjukkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) tindakan akan diambil,” katanya  selepas melakukan tinjauan di SJR Tol Senawang hari ini.

Muhammad juga berkata hasil pemantauan di beberapa masjid utama di negeri ini, pihaknya mendapati pematuhan SOP dilaksanakan dengan baik.

Related posts

Leave a Comment