SOP baharu di hari akhir Ramadan

RAMADAN sudah pun berada di pintu keluar, sedang menanti kehadiran Syawal. Tiada siapa boleh menghalang pemergian Ramadan. Dia tetap akan pergi. Tetapi selagi belum kiamat, Ramadan akan kembali lagi, cuma kita belum pasti sama ada dapat menyambutnya di muka pintu 1443 dan seterusnya.

Serentak dengan pemergian Ramadan, turut datang lebih awal sebelum kehadiran Syawal adalah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP). Bukan lagi satu dua negeri tetapi seluruh negara dikenakan PKP. Maknanya seluruh negara tidak boleh rentas daerah dan negeri.

Sama-sama kita patuh Prosedur Operasi Standard (SOP). Jangan ada pergerakan untuk berhari raya ke sana ke sini ke sana ke sini. Abah dan Pak Long sudah tentu berada di Putrajaya sahaja melayan keluarga pada hari raya ini. Itu pun kalau anak cucu ada bersama.

Sama macam ‘anak-anak’ Abah di seluruh negara. Abah tak balik Pagoh, Pak Long tak balik Bera. Saya tak balik Permatang Pauh. Kita raya sesama kita, bukan bersama Covid-19.

Pada hari ini juga bermulalah SOP baharu termasuk di masjid dan surau. Subuh tadi ada yang sudah mematuhi SOP baharu. Disebabkan semangat ke masjid atau surau masih belum luntur sepanjang Ramadan, ramai pergi awal rebut tempat 20 atau 50 orang sebelum pintu masjid dan surau ditutup.

Dan juga satu kelainan hari ini, jarak antara jemaah di saf sama kekal satu meter tetapi antara saf pertama dan kedua kini dijarakkan. Saf kedua dikosongkan dan diisi untuk saf ketiga. Janggal, tetapi Ikut sahaja.

Jangan samakan kita dengan Masjidilharam atau Masjid Nabawi atau Masjid Al Aqsa. Terimalah itu sebagai norma baharu beribadah. Pastinya SOP itu untuk kebaikan bersama bagi mengekang penularan Covid-19. Itu ikhtiar.

Alangkah indahnya, jika mereka yang di luar sana – ketika di pasar, pusat beli belah, kedai runcit, bank dan lain-lain lagi dapat mengikuti disiplin seumpama ini iaitu jaga jarak fizikal.

Tahun ini adalah tahun kedua kita berhari raya bersama PKP dan Covid-19. Namun berbanding tahun lepas, ‘sambutan’ kali ini lebih baik kerana masih ada bazar Ramadan, bazar Aidilfitri walaupun hanya 25 hari.

Di masjid dan surau juga boleh solat sunat Tarawih dengan SOP yang ketat. Qiamullail dan kuliah juga diadakan. Hanya iftar dan sahur dilarang. Solat sunat Aidilfitri juga ada tetapi bersyarat seperti solat lima waktu dan Jumaat.

Pastinya syarat yang ada tidak mampu memenuhi kehendak ramai. Mana mungkin Abah dapat memuaskan hati semua orang. Tetapi hari ini melalui grup WhatsApp timbul pelbagai keluhan mengenai peluang mereka untuk solat Aidilfitri berjemaah di masjid atau surau.

Ingat tahun lepas semasa PKP 1.0 tidak ada peluang ini. Jadi bersyukurlah. Bagi yang tidak berpeluang anggaplah itu bukan rezeki.

Namun lumrah manusia, ada salah tak ada pun salah. Buat salah tak buat pun salah. Semuanya serba salah. Naluri ingin tahu tetap ada khususnya berkaitan solat Aidilfitri.

Contohnya, bagi yang tidak menggunakan sistem tempahan atau siapa cepat dia dapat, ada yang bertanya kriteria pemilihan jemaah. Nampak remeh tetapi boleh mengundang rasa tidak puas hati. Pemilihan untuk mengisi slot terhad bukan kerja mudah. Pastinya ada kriteria yang diperhalusi.

Dalam situasi ini berusahalah untuk menjadi golongan yang sedikit, yang dapat ke masjid dan surau untuk solat lima waktu walaupun ketika PKP.

Untuk solat Aidilfitri esok, mereka yang berpeluang ke masjid atau surau adalah tergolong dalam golongan orang yang sedikit – 20 atau 50 orang.

Lanjutan jumlah yang dihadkan itu, timbul pula persoalan kenapa tidak diadakan beberapa sesi? Mereka mengambil contoh di Singapura yang melaksanakan dua atau tiga sesi solat termasuk solat Jumaat. Ada juga yang berkata di United Kingdom pun sama. Entah betul atau tidak.

Jawapan mudah adalah ikut SOP. Adakah yang mengadakan solat beberapa sesi tidak ikut SOP? Tidak. Pihak berkuasa khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai jawapan dan pertimbangan.

Mungkin salah satunya adalah bagi mengurangkan pergerakan secara berkumpulan. Mungkin tahap disiplin orang kita yang lemah. Di suruh pakai mask diletaknya di bawah dagu, di suruh bawa sejadah saiz normal dibawanya sejadah kecil, disuruh imbas MySejahtera diabaikannya, disuruh berwuduk di rumah diingkarinya dan macam-macam lagi.

Lebih teruk yang batuk, selesema masih datang berjemaah. Kedegilan ini kadang-kadang menyebabkan jemaah lain tidak selesa.

Kembali kepada disiplin, mungkin itulah ‘muslihat’ Abah dan Pak Long tidak boleh menerima cadangan solat tiga sesi ini. Atau kita perlu belajar daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi mendisiplinkan jemaah. Situasi ini secara tidak langsung membuka peluang tohmahan terhadap kerajaan majoriti Islam dengan kerajaan minoriti Islam. Berpolitik pula.

Namun disiplin ini masih boleh dibentuk apabila diberi fakta yang secukupnya demi kemaslahatan umat manusia. Manusia mungkin lebih berdisiplin apabila beliau dijanjikan bakal peroleh sesuatu.

Apa pun kepada yang tidak berjaya mendapatkan slot solat sunat hari
raya, solatlah bersama keluarga di rumah. Ini bukan kali pertama.

Pada masa yang sama berusahalah menjadi individu yang tergolong dalam golongan yang sedikit. Kita tidak tahu sampai bila Covid-19 akan ‘mengganggu’ ibadah kita. Justeru perbaiki diri untuk meletakkan diri sebagai orang yang lebih dekat dengan masjid atau surau bagi solat wajib.

Selain sentiasa hadir pada solat lima waktu, menghadiri kuliah atau ceramah, jangan lupa banyak memberi ‘sumbangan’ masa, tenaga, fikiran atau mungkin wang ringgit supaya pada masa depan anda tergolong dalam golongan yang sedikit ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Ingat SOP dan norma baharu berhari raya.

Related posts

Leave a Comment