Polis tambah SJR laluan tikus

JOHOR BAHRU 12 Mei – Polis Johor menambah jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) di negeri ini daripada 35 kepada 50 setelah mengesan terdapat banyak laluan tikus melibatkan beberapa lokasi di sempadan daerah.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata antara laluan tikus yang banyak dikesan adalah di sempadan daerah Segamat, khususnya di kawasan ladang kelapa sawit.

“Selain itu, kita juga kesan laluan tikus di kawasan laut di bawah Op Benteng. Oleh kerana itu, jumlah SJR daripada 35 sebelum ini ditingkatkan lagi sehingga 50 untuk memastikan tiada yang lolos,” katanya selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai di Pasar Awam Larkin Sentral hari ini.

Sementara itu, beliau berkata keanggotaan bagi pasukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini melibatkan 1,420 individu dengan 1,254 daripadanya adalah pegawai dan anggota polis.

Polis menerima sebanyak 25,222 permohonan rentas negeri sejak 5 hingga 11 Mei lepas, yang mana 24,693 daripadanya diluluskan manakala 529 yang lain ditolak.

Semalam sebanyak 28,394 buah kenderaan diperiksa dan 39 daripadanya diarah patah balik kerana tiada surat kebenaran. Malah, ada yang dikesan menggunakan surat kebenaran rentas negeri lama dan telah tamat tempoh.

Related posts

Leave a Comment