Saya bukan zalim – Muhyiddin

PUTRAJAYA 12 Mei – Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata segala keputusan kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertujuan untuk melindungi masyarakat daripada penularan jangkitan Covid-19.

Beliau sedar keputusan kerajaan melaksanakan PKP sewaktu musim perayaan Aidilfitri merupakan satu keputusan yang tidak disenangi sebahagian besar masyarakat.

“Ada yang marah saya kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok.

“Sudahlah tidak boleh balik kampung, ingin ziarah keluarga dan sahabat handai juga tidak boleh, zalim sangatkah kerajaan ini?

“Saya bukan zalim, semua ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari dan kalau saya benarkan ziarah rumah ke rumah kita tidak tahu ada yang datang mungkin positif Covid-19-19.

“Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas Aidilfitri malam ini..

Muhyiddin bagaimanapun berkata tindakan kerajaan sahaja tidak menjamin angka jangkitan Covid-19 untuk menurun, sebaliknya, ia juga bergantung kepada tahap kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu katanya, dalam pelaksaan PKP kali ini, kerajaan tidak menutup sektor ekonomi yang boleh menyebabkan kehilangan sebanyak RM2.4 bilion dalam tempoh sehari.

Namun begitu, pemantauan akan dibuat dengan lebih ketat ke atas premis-premis perniagaan, kilang-kilang serta asrama pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor-sektor berkaitan.

Menerusi ucapannya itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan petugas hadapan di atas segala pengorbanan dan khidmat bakti sepanjang memerangi wabak.

Related posts

Leave a Comment