Bersyukur masih dapat beribadah

KUALA LUMPUR 12 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.mengajak rakyat bersyukur kerana masih dapat melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk menyambut kedatangan Syawal.

Baginda sedar rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik Covid-19 dan berhari raya dengan norma baharu sekali lagi tanpa kunjung mengunjung dan balik kampung.

“Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan melanda,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio, malam ini.

Namun titah Baginda, pengorbanan itu menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran seluruh rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong tidak mahu kerukunan hidup bermasyarakat dilupakan menerusi tutur kata yang boleh menanam benih-benih perbalahan sesama rakyat, dalam situasi semasa dihadapi negara.

Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa atau agama yang telah bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran,” titah Seri Paduka.

Baginda juga mengajak rakyat melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

“Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.

Related posts

Leave a Comment