KUALA LUMPUR 19 Sept . – – Rekod Lembaga Tabung Haji (TH) mendapati terdapat 521 bakal haji dalam senarai giliran 1447/2026M tidak dapat dihubungi.
Justeru TH mengingatkan bakal jemaah mengemas kini profil maklumat peribadi bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji tahun depan berjalan lancar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata bakal jemaah boleh menyemak giliran menunaikan haji bagi musim haji 1447/2026M melalui platform THiJari atau di pejabat cawangan TH seluruh negara.
Katanya, peringatan erterusan ini adalah sebahagian daripada komitmen TH untuk memastikan bakal jemaah dapat menerima maklumat terkini, termasuk jadual taklimat persediaan, kursus haji serta segala panduan perjalanan ke Tanah Suci.
Mustakim berkata, TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini bagi urusan haji supaya dapat diatur dengan sebaiknya.
Beliau juga menggesa semua pendeposit terutamanya bakal haji senarai giliran untuk mengambil tindakan segera dengan hadir ke pejabat TH terdekat.
Mustakim juga mengingatkan semua bakal haji untuk membuat persediaan awal sebaiknya dari aspek kesihatan, kewangan dan ilmu pengetahuan berkaitan ibadah haji.
