3 lagi negara dikenakan sekatan

BANGKOK 11 Mei –  Thailand mengenakan larangan kemasukan warga asing yang melakukan perjalanan dari tiga lagi negara iaitu Pakistan, Bangladesh dan Nepal dalam usaha untuk mengekang penularan varian Covid-19 India.

Sebelum ini larangan sama dikenakan ke atas warga asing yang melakukan perjalanan dari India.

Semalam, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) mengesahkan laporan kes pertama varian India, melibatkan ibu dan anak warga tempatan yang tiba dari Pakistan.

Jurucakap Kementerian Luar, Tanee Sangrat, berkata CCSA meminta kementerian untuk menangguhkan sementara pengeluaran Sijil Masuk (CoE) kepada semua warga asing yang melakukan perjalanan dari negara yang mempunyai kes varian India itu.

“Langkah ini hanya sementara untuk semua warga negara asing yang datang dari tiga negara tersebut.

“Bagaimanapun, warga Thailand, diplomat misi di Thailand dan keluarga mereka serta penduduk tetap yang melakukan perjalanan dari negara terbabit masih boleh kembali ke Thailand jika mahu,” katanya dalam satu kenyataan.

Related posts

Leave a Comment