Dr. Mahathir rayu patuh SOP

KUALA LUMPUR 10 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta rakyat lebih berdisiplin dalam mengawal diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP)semasa musim perayaan ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Bekas perdana menteri itu yang nyata bimbang dengan perkembangan wabak itu berkata pasukan keselamatan serta orang lain tidak mampu untuk menjaga semua orang dalam pematuhan SOP semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, kegagalan untuk menjaga diri akan menyebabkan kadar jangkitan semakin meningkat pada Hari Raya.

Justeru arahan tidak berkumpul pada hari raya amat penting untuk dipatuhi dan kita tidak perlu buat lawatan ke rumah kawan dan sanak saudara kerana itu bukan satu lawatan yang baik kerana kita mungkin akan dijangkiti atau mereka akan dijangkiti.

Beliau merayu rakyat mematuhi SOP, duduk di rumah, berhari raya  secara terhad dan berkorban pada hari ini untuk keselamatan hari esok.

“Kita perlu sabar dalam Hari Raya tahun ini kerana kita ingin melihat penyakit ini dikurangkan dengan tindakan oleh kita,” katanya dalam ucapan khas yang disiarkan melalui Facebooknya hari ini.

Berdasarkan pengamatan beliau, orang ramai kini mula mengabaikan pematuhan SOP termasuk di bazar  Ramadan serta di masjid dan keadaan itu menyebabkan beliau sendiri tidak lagi solat berjemaah di masjid atau ke bazar demi keselamatan.

Di masjid, katanya walaupun berlaku penjarakan fizikal semasa solat tetapi penjarakan itu diabaikan selepas selesai solat.

Katanya,  walaupun ramai yang tidak suka SOP tetapi perkara itu penting untuk mengelakkan negara ini daripada menerima nasib seperti di India dan Brazil apabila ratusan individu dijangkiti setiap hari menyebabkan penularan di luar kawalan.

Keadaan yang sama boleh berlaku di negara ini, jika rakyat terus mengabaikan pematuhan SOP dan jika ini terjadi, tempat rawatan dan keperluan perubatan untuk merawat penyakit itu akan berkurangan.

Rawatan tidak dapat dilakukan secara sempurna, sekali gus boleh menjadi punca peningkatan kes kematian.

“Kita harus ingat pada mula-mula kita terpaksa melakukan lock down selama sebulan (tahun lepas), kita dapat kawal perkembangan wabak ini sehingga dua digit sahaja… tetapi sekarang kes jangkitan meningkat sehingga 4,000 lebih.

“Keadaan lebih genting kerana virus ini menjadi varian yang baharu dan ia lebih mudah menjangkiti daripada yang lama yang mungkin tidak dapat dikawal dengan suntikan vaksin,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihati penjaja bazar Ramadan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terjejas dengan langkah kerajaan yang tidak membenarkan operasi diteruskan bermula hari ini supaya bertabah dan bersabar.

Menurutnya jika mereka mengutamakan soal jualan, lebih ramai yang akan dijangkiti dan menjadi korban kepada virus pembunuh itu.

Bagaimanapun beliau turut berharap kerajaan dapat membantu golongan peniaga serta rakyat yang terjejas ketika berdepan dengan situasi ini.

Beliau juga menasihatkan mereka yang belum disuntik dengan vaksin perlu berusaha mendapat suntikan ini kerana ia memberi perlindungan kepada kita walaupun tidak 100 peratus.

Related posts

Leave a Comment