500 kenderaan diarah berpatah balik

PASIR MAS 9 Mei – Polis Kelantan setakat petang semalam mengarahkan sebanyak 500 kenderaan berpatah balik, ketika melalui tiga sekatan jalan raya utama untuk memasuki negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, selain tiada surat kebenaran rentas negeri, pengguna jalan raya juga memberi alasan yang tidak munasabah.

Katanya, ada juga sebahagian perantau, mencetak surat kebenaran rentas negeri yang dimuat turun menerusi laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa tandatangan serta cop kebenaran pihak berkuasa.

“Paling ramai diarah berpatah balik adalah di sekatan jalan raya sempadan Gua Musang dan Pasir Puteh,” katanya kepada pemberita, tengah malam tadi.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, berlaku peningkatan sebanyak tujuh peratus kemasukan kenderaan ke Kelantan berbanding hari biasa walaupun berstatus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Related posts

Leave a Comment