Melancong sambil balik kampung?

KANGAR 5 Mei – Melancong sambil balik kampung? Kemungkinan itu ada, justeru pengendali agensi pelancongan diingatkan supaya tidak menyalah guna kebenaran gelembung perjalanan yang diberi kerajaan dengan memberi perkhidmatan kepada mereka yang ingin pulang berhari raya di kampung.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Dr Amar Abdul Ghapar berkata, ia merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Beliau membuat peringatan itu berikutan ada kecenderungan orang ramai untuk balik ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri dan taktik ini mungkin akan digunakan memandangkan pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ada juga yang kita dengar macam itu. Tetapi, kita sudah katakan selalu, biasanya cara tidak menghalalkan niat. Ia tanggungjawab sendiri sebenarnya. Walaupun memang ia merupakan satu kelebihan pada industri pelancongan,” kata Amar di Kuala Perlis malam tadi.

Jelasnya lagi, terpulang kepada pengendali agensi pelancongan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menjalankan perkhidmatan mereka.

November tahun lalu, kerajaan bersetuju membenarkan gelembung perjalanan domestik bagi negeri zon hijau di seluruh negara bagi merancakkan aktiviti dan sektor pelancongan domestik.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas MKN setuju dengan cadangan SOP Gelembung Perjalanan Domestik oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).

Related posts

Leave a Comment