Kes di India cecah 20.28 juta

NEW DELHI: Kementerian Kesihatan India merekodkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kini mencecah 20.28 juta selepas mencatat lebih 357,229 jangkitan baharu pada Selasa (4 Mei).

Di samping itu, 3,449 kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini sebanyak 222,408.

Sejak 1 Mei, terdapat sedikit penurunan selepas negara itu mencatat jumlah jangkitan tertinggi iaitu 400,000 kes.

Negara itu mencatatkan 392,488 kes pada Ahad dan 368,147 kes pada Isnin (3 Mei). 

India ketika ini bergelut dengan peningkatan kes sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara lumpuh di mana hospital kekurangan katil, bekalan oksigen dan ubat-ubatan.

Kebanyakan pesakit dilaporkan meninggal dunia setelah hospital-hospital di sana tidak lagi berupaya menyediakan bantuan peralatan oksigen. 

India minggu lalu memulakan kempen vaksinasi kepada penduduk berumur 18 tahun ke atas bagaimanapun, usaha itu berdepan kesukaran kerana terdapat beberapa negeri menghadapi kekurangan bekalan vaksin.

Related posts

Leave a Comment