BANGKOK 4 Mei – Jumlah kematian akibat Covid-19 di Thailand mencecah 300 apabila 27 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 303 orang.
Kes baharu pula sebanyak 1,763 yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 72,788 kes.
Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, kematian melibatkan 21 lelaki dan enam wanita berusia antara 25 hingga 92 tahun.
Lapan daripada mangsa dari Bangkok, lima dari wilayah Nonthaburi, masing-masing dua dari Lamphun dan Samut Prakan manakala satu masing-masing dari Chon Buri, Ubon Ratchathani, Pathum Thani, Nakhon Pathom, Buri Ram, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Kamphaeng Phet, Chai Nat dan Nan.
Mereka juga penghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, paru-paru, darah tinggi dan diabetesndi samping mempunyai kaitan dengan keluarga, rakan-rakan dan tempat kerja yang pernah disahkan dijangkiti.
Daripada 1,763 kes baharu itu, sebanyak 1,750 adalah kes tempatan di mana 1,519 disahkan hospital dan 21 semasa ujian di lapangan.
Sementara itu Bangkok merekodkan 562 kes diikuti Samut Prakan 201, Nonthaburi 168 , Chon Buri 91, Samut Sakhon 55, dan Chiang Mai 41.
Kes import pula adalah 13 dari India, Nigeria (1), Mesir (3), Itali (1), Pakistan (2), Sudan (1) dan Malaysia (4 warga Thai yang masuk melalui pintu sempadan).
Sementara itu jumlah pesakit yang sembuh pula adalah 42,474 (58.35%) termasuk 1,490 yang dibenarkan keluar hospital manakala 30,011 masih di hospital termasuk 1,009 yang kritikal dan 311 memerlukan bantuan pernafasan