Kes harian tinggi di Singapura

SINGAPURA mencatatkan kes harian tertinggi pada Isnin 26 April apabila merekodkan 45 kes baharu Covid-19 termasuk dua jangkitan tempatan iaitu satu dalam masyarakat dan satu di asrama pekerja.

Kes dalam masyarakat melibatkan seorang pelajar warga Singapura berusia 19 tahun yang belajar di United Kingdom dan kembali ke Singapura pada Disember lalu.

Jangkitannya dikesan ketika beliau menjalani ujian sebelum berangkat pada 23 April sebagai persiapan untuk perjalanan ke United Kingdom. Pelajar itu, sebelum ini berada di United Kingdom dari 11 September hingga 1 Disember tahun lalu.

Satu lagi kes melibatkan penghuni asrama pekerja Dormitori Westlite Woodlands, tempat tinggal yang sama bagi dua kes yang disahkan sebelum ini, iaitu Kes 62181 dan Kes 62225.

Pemegang permit kerja warga Bangladesh itu berusia 35 tahun yang merupakan seorang pekerja binaan.

Bagaimanapun, pekerja itu tinggal di blok yang berlainan daripada kedua-dua kes tersebut dan tidak bergaul dengan mereka.

Jangkitan pekerja itu dikesan apabila beliau dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga menyusuli pengesanan Kes 62181, seorang warga Bangladesh yang bekerja di Sembcorp Marine Admiralty Yard, pada 19 April.

Pekerja binaan, yang dikenal pasti sebagai Kes 62440, sebelum ini diuji negatif Covid-19 berdasarkan ujian rutin berjadual, dengan yang terkini pada 20 April.

Baki 43 kes adalah kes import yang melibatkan lapan warga Singapura dan lima adalah Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari India dan Indonesia.

Lapan kes lain adalah pemegang pas khas yang merupakan anak kapal, warga Indonesia yang tiba di sini dengan menaiki kapal. Empat kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan Nepal.

Tiga pemegang pas pelajar yang tiba dari India,  enam pemegang pas kerja yang tiba dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Filipina dan Sri Lanka.

Lapan kes lain adalah pemegang permit kerja yang berasal dari India dan Malaysia dan akhir sekali pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Bangladesh.

Sementara itu sebanyak 20 kes dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih sepenuhnya sebanyak 60,682.

Terdapat 109 kes yang disahkan masih berada di hospital, dan tiada seorang pun di unit jagaan rapi.

Singapura melaporkan 61,051 kes Covid-19 setakat sehingga Isnin, dengan 30 kematian.

Related posts

Leave a Comment