PKP seluruh Negeri Kelantan

PUTRAJAYA 21 April – Seluruh negeri Kelantan kini dikenakan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) apabila tiga lagi jajahan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang terlibat dengan perintah itu mulai esok, 22 April sehingga 29 April.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata berlaku peningkatan kes Covid-19 yang ketara di tiga jajahan tersebut.

Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes dan ketiga-tiga jajahan ini telah bertukar kepada zon merah.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 April lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di tujuh daripada 10 jajahan di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Ia berkuat kuasa pada 16 April hingga 29 April ini.

Sementara itu Ismail Sabri juga berkata PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah iaitu Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height bermula esok hingga 5 Mei.

“Sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif Covid-19 telah direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut iaitu 24 kes di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya (10 kes) dan Taman Palm Height (11),” katanya.

Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD susulan penurunan kes baharu di Kampung Menuang Baru di Limbang, Sarawak pada 24 April seperti dijadualkan.

Katanya PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau Serai di Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 29 April susulan peningkatan kes.

Ismail Sabri berkata sejumlah 230 individu ditahan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan 228 daripada mereka dikenakan kompaun manakala dua lagi direman.

Merujuk kepada Operasi Benteng, beliau berkata lapan pendatang tanpa izin ditahan semalam dan empat kenderaan darat turut dirampas.

Related posts

Leave a Comment