Kenapa perlu manipulasi angka?

KENAPA tiba-tiba timbul keraguan mengenai angka? Benarkah pihak berkuasa sengaja memanipulasi data harian kes positif Covid-19? Adakah mereka yang menimbulkan isu ini mempunyai data yang sebenar?

Timbul persoalan jika angka itu dimanipulasi, apakah tujuannya? Tidak kiralah sama ada di pihak kerajaan atau mereka yang mendakwa demikian. Kenapa?

“Apa untungnya kepada mereka yang tiba-tiba bercakap dan buat ‘posting’ mengatakan nombor itu tak betul dan sengaja diadakan? Apa untungnya kepada yang buat berita itu?”, tanya Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau melontarkan persoalan itu sebagai mengulas tindakan sesetengah netizen melalui media sosial yang menuduh Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) sengaja memanipulasi data harian kes positif Covid-19 di negara ini.

Sejak kebelakangan ini ada saja yang mempertikaikan angka itu sedangkan kenaikan kes sedang berlaku di kebanyakan negara di dunia. Sama ada angka itu kecil atau besar, kes Covid-19 masih menular.

Di beberapa negara yang jangkitannya pada mulanya agak perlahan kini mula menunjukkan peningkatan. Ada juga negara yang kes hariannya turun sejak beberapa lama tiba-tiba menunjukkan peningkatan.

Contohnya di Thailand, pada peringkat awal, angkanya boleh ‘dibilang dengan jari’ malahan ada hari tiada kes tetapi kebelakangan ini mula meningkat. Di Arab Saudi yang mulanya meningkat, kemudian turun tetapi hari ini ada trend peningkatan.

Justeru adakah negara-negara lain di dunia juga sedang bermain dengan angka?

Dalam hal ini tidak wajar mana-mana pihak menimbulkan keresahan dan keraguan dalam kalangan rakyat mengenai ketelusan laporan yang diberikan.

Tindakan itu hanya menyulitkan kerajaan dan mengganggu usaha membendung penularan wabak. Bukan sekadar berhadapan dengan wabak tetapi juga pelbagai cerita yang ‘menakutkan’ mengenai angka, vaksin dan sebagainya.

Sepatutnya semua pihak menumpukan usaha memutuskan rantaian Covid-19 bukannya mengalih perhatian untuk melayani isu-isu seumpama ini.

Kata Ismail Sabri, tiada sebab untuk KKM memanipulasi data harian kes positif Covid-19 kerana ia diperoleh melalui sistem maklumat dan kesihatan awam daripada setiap negeri pada pukul 12 tengah hari setiap hari.

“Jumlah keseluruhannya barulah diumumkan KKM. Kalau dari segi laporan, penggunaan hospital semakin banyak dan penggunaan katil semakin bertambah. Maknanya ramai yang positif,” kata beliau selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD), Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson semalam.

Menurutnya, ia menunjukkan kes positif Covid-19 itu benar-benar berlaku dan tiada alasan KKM mahu memanipulasikan nombor.

“Kalau boleh kita nak kosong, lagi baik dan senang kerja kita, selesai. Tapi kes meningkat semula dan ini tak berlaku di Malaysia saja, tapi di seluruh dunia,” ujarnya.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan di media sosial kononnya KKM sengaja memanipulasi data harian kes positif Covid-19.

Katanya, mereka yang membuat tuduhan demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

Menguar-uarkan cerita tidak betul boleh diambil tindakan oleh polis. Buat berita palsu dan tidak benar adalah salah dan boleh diambil tindakan.

Beliau tidak mahu memberi amaran, sebaliknya mengharapkan orang ramai dapat sama-sama membantu tugas KKM dan pihak berkuasa untuk menjaga kepentingan semua rakyat di negara ini.

Related posts

Leave a Comment