Shahidan mahu polis siasat audio

KUALA LUMPUR 8 April – Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Barisan (PNBBC), Shahidan Kassim akan membuat laporan polis mengenai rakaman perbualan telefon kononnya Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim yang tular di media, sejak beberapa hari lalu.

Beliau akan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan mengenai kesahihan rakaman audio perbualan telefon yang didakwa antara Presiden UMNO dan Presiden PKR tersebut.

Memetik portal PNBBC, Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis juga meminta pihak lain membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat dan memutuskan kesahihan perbualan telefon berkenaan.

“Dalam audio yang didakwa antara presiden saya dan seseorang dari PKR, nama saya disebut. Saya dikatakan telah dicemuh semasa ucapan saya (di Perhimpunan Agung UMNO).

“Zahid mengatakan audio itu palsu tetapi nama saya disebut. Tidak salah bagi sesetengah orang untuk mencemuh saya, mungkin kerana saya bukan penceramah yang baik, tetapi saya ingin tahu apakah perbuatan mencemuh terhadap saya itu dirancang,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau yang dikatakan menentang tindakan Zahid untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu namanya dan Zahid dibersihkan.

Dalam pada itu, Shahidan juga ada memetik isu sepucuk surat, yang didakwa dikirim kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Zahid dan Datuk Seri Najib Razak, yang menyatakan bahawa mereka dan beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Surat itu dikatakan palsu tetapi tidak ada laporan polis yang dibuat. Saya setuju bahawa laporan polis harus dibuat kali ini kerana Presiden mengatakan rakaman audio itu palsu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment