Muktamad putus hubungan

KUALA LUMPUR 28 Mac – Muktamad. Putus hubungan dengan Bersatu. Berkerat rotan berpatah arang. Itu keputusan berkaitan usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berakhir hari ini.

Bagaimanapun PAU 2020 menyerahkan mandat kepada Presiden dan Majlis Tertinggi parti itu untuk menentukan bila waktunya bagi menarik diri daripada kerajaan PN.

Perkara itu diputuskan ketika ucapan penggulungan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanyakan persetujuan tentang perkara itu kepada perwakilan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL). 

Ahmad Zahid ketika sidang media selepas menggulung perbahasan, berkata perhimpunan kali ini turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

“Dalam konteks ini, usul lain yang dicadangkan dan diterima sebulat suara perwakilan UMNO bahawa PRU15 mesti diadakan dalam tempoh dari 1 Ogos 2021 selepas darurat tamat atau satu tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan (lebih awal),” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan persetujuan yang dicapai pada perhimpunan ini menunjukkan UMNO kini tidak lagi berada di persimpangan dalam hal kerjasama politik parti itu.

Oleh itu, katanya, semua ahli UMNO perlu mematuhi sepenuhnya keputusan berkenaan dan tidak harus ada lagi dakwa-dakwi di luar sana kerana keputusan yang dicapai adalah sangat jelas.

“Susulan keputusan besar hari ini, saya serta ketua-ketua sayap akan membawa usul yang sebulat suara diluluskan ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang, “ katanya.

Mengenai cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah supaya pemimpin yang dilantik oleh kerajaan PN sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan meletak jawatan, beliau berkata cadangan itu akan diteliti pada mesyuarat MT akan datang.

“Ia tiada dalam usul hari ini,” katanya.

Mengulas tentang pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini, Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata ia mesti diadakan tahun ini, tetapi keutamaan diberi kepada PRU15 terlebih dahulu.

Katanya, pemilihan juga perlu melihat keadaan semasa penularan Covid-19 kerana mengikut syarat ia memerlukan kehadiran penuh ahli yang layak.

Related posts

Leave a Comment