Thailand catat 80 kes baharu

BANGKOK 27 Mac – Thailand merekodkan 80 kes baharu Covid-19 melibatkan 73 tempatan dan tujuh import dengan satu kes meninggal dunia hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 28,657 kes dan 93 kematian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, kes kematian melibatkan lelaki penghidap kencing manis berusia 45 tahun di Nakhon Pathom.

Daripada 73 kes jangkitan tempatan, Bangkok merekodkan angka tertinggi iaitu 52 atau 71.2 peratus di mana 29 orang adalah dalam kalangan pesakit luar dan 23 melalui pengesanan kes secara aktif.

Samut Sakhon merekodkan 15 kes baharu iaitu 11 melibatkan pesakit luar dan empat melalui pengesanan kes aktif sementara wilayah lain merekodkan enam kes baharu.

Tujuh kes import pula melibatkan mereka yang dikuarantin selepas ketibaan dari Bahrain (1), India (3), Jerman (1) dan Afrika Selatan (2). Mereka terdiri daripada tiga warga India, dua Afrika Selatan dan dua warga Thai.

Daripada 28,657 kes yang direkodkan setakat ini, sebanyak 27,136 (94.7%) kes dilaporkan sembuh termasuk 104 yang dibenarkan keluar hospital dan 1,428 masih di hospital.

Related posts

Leave a Comment